Muat Turun Percuma
Free download whoscall app
Imbas dan Muat Turun Whoscall

Whoscall Dengan Rakan Strategik PDRM dan Pos Malaysia Bekerjasama Untuk Memerangi Penipuan Parcel

BERITA WHOSCALL
2024-08-12 | Whoscall MY

Kuala Lumpur, 12 Ogos 2024 – Pos Malaysia Berhad ("Pos Malaysia") dan Whoscall, aplikasi anti-penipuan terkemuka yang dikuasakan oleh Gogolook, hari ini mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia. Kerjasama proaktif ini melibatkan Pos Malaysia berkongsi semua nombor operasi dengan Whoscall, termasuk nombor posmen, yang akan ditandakan sebagai "verified numbers” ("nombor yang disahkan"). Dengan ini, pengguna Whoscall akan lebih yakin untuk menerima panggilan dan SMS daripada Pos Malaysia dan dan secara amnya ia akan melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman penipuan parcel yang semakin meningkat.


MoU ini ditandatangani oleh Manwoo Joo, Ketua Pegawai Operasi Gogolook dan Hj. Zaini Yahman, Pengarah Operasi, Pos Malaysia dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK). Selain daripada pengesahan nombor telefon, MoU ini juga menggariskan kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall untuk melancarkan Kempen Kesedaran Anti-Parcel Scam, yang akan merangkumi siri jelajah yang meluas di seluruh negara untuk mendidik orang ramai berkenaan penipuan parcel.


Mengulas tentang kerjasama ini, Pesuruhjaya Polis Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil berkata, "Kami memuji usaha Pos Malaysia dan Whoscall atas langkah proaktif ini dalam memerangi penipuan dalam talian khususnya melibatkan phone scam. Inisiatif #ScamFreeMalaysia adalah bukti usaha kolektif kita dalam memerangi jenayah dalam talian dan melindungi orang awam. Kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall merupakan langkah yang signifikan dalam usaha berterusan bagi memerangi penipuan dalam talian, termasuk isu penipuan phone scam di negara kita”.


“Untuk rekod, sepanjang tempoh tiga tahun iaitu dari 2021 hingga 2023, sejumlah 8,011 kes phone scam telah disiasat melibatkan nilai kerugian RM440,971,870.50. Daripada jumlah tersebut, 448 kes adalah penipuan melalui penyamaran sebagai pegawai Pos Laju melibatkan nilai kerugian RM27,186,773.82. Manakala bagi tahun 2024, sehingga Julai, sejumlah 1,411 kes phone scam telah disiasat dengan nilai kerugian RM64,468,952.59. Sejumlah 87 kes adalah berkaitan penyamaran sebagai pegawai Pos Laju melibatkan nilai kerugian RM2,999,714.42. Angka-angka ini merupakan mesej jelas bahawa phone scam adalah penipuan yang perlu diberikan perhatian serius. Justeru, adalah penting untuk kita memanfaatkan teknologi bagi melindungi rakyat di dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi. Pihak PDRM juga akan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam melindungi rakyat Malaysia daripada semua jenis penipuan,” tambah Pesuruhjaya Polis Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.



Hj. Zaini Yahman, Pengarah Operasi, Pos Malaysia berkata, “Kami berbesar hati untuk berkongsi kerjasama Pos Malaysia dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Whoscall mengenai kempen kesedaran anti-scam di seluruh negara. Inisiatif ini dibina berdasarkan program perintis kami yang berjaya di Perak dan mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan dan kecemerlangan perkhidmatan. Tambahan pula, kami berbangga menjadi syarikat tempatan yang pertama untuk bekerjasama dengan Whoscall dalam melaksanakan penandaan “verified numbers” ("nombor yang disahkan"). Penyelesaian inovatif ini dapat mengesahkan lebih 6,600 nombor telefon operasi yang digunakan oleh pasukan kami, menghapuskan ketidakpastian dan membina kepercayaan. Inisiatif ini sejajar dengan tujuan kami di Pos Malaysia: untuk membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang. Dengan menangani masalah penipuan bungkusan, kami bukan sekadar melindungi pelanggan kami; kami juga meningkatkan reputasi jenama Pos Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan yang selamat dan boleh dipercayai.”


“Kerjasama bersama Pos Malaysia dalam pengkongsian nombor telefon posmen ke Whoscall telah memperluaskan lagi pangkalan data kami di Malaysia dan ini dapat mengukuhkan lagi tahap keselamatan pengguna kami. Melalui perkongsian sumber data ini digabungkan dengan aplikasi teknologi anti-penipuan yang berkuasa oleh Whoscall, kami akan dapat melindungi rakyat Malaysia dengan lebih menyeluruh daripada semua jenis penipuan dalam talian, termasuk penipuan parcel. Teknologi kami berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama dalam mencegah penipuan dalam talian, membantu membina persekitaran yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” kongsi Manwoo Joo, Ketua Pegawai Operasi Gogolook.



Bagi menyokong inisiatif ini, Whoscall dan Pos Malaysia menawarkan percubaan percuma selama 60 hari bagi ciri Premium Whoscall. Rakyat Malaysia boleh menebus tawaran ini dengan melayari https://bit.ly/POSAntiScam, dan menggunakan kod promosi PosAntiScam.



Whoscall ialah satu-satunya aplikasi anti-penipuan dipercayai yang diluluskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan baru-baru ini dilantik oleh CyberSecurity Malaysia sebagai rakan strategik Anti-Scam mereka. Menjangkau lebih daripada sekadar panggilan dan mesej teks, Whoscall telah memperkenalkan ciri terbaharunya, Auto Web Checker, di Malaysia. Ciri baharu ini memberikan amaran serta merta apabila pengguna melawat laman web penipuan secara tidak sengaja, membantu mengelakkan kebocoran data peribadi dan kecurian akaun.


Untuk maklumat lanjut mengenai #ScamFreeMalaysia, Kempen Kesedaran Anti-Parcel Scam, sila layari akaun media sosial Whoscall di https://www.facebook.com/whoscall.malaysia/ dan https://www.tiktok.com/@whoscall.malaysia. Kami menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk memuat turun Whoscall hari ini dalam memerangi penipuan dan bersama-sama melindungi komuniti kita.