Kuala Lumpur, 22 Mei 2025 – Melihat perkembangan positif awal dalam usaha membanteras panggilan scam di Malaysia, Whoscall kembali dengan inisiatif nasional Scam Free Malaysia 2025 bersama rakan kerjasama berterusan, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tahun ini, kempen ini diperkukuh dengan penyertaan J&T Express Malaysia sebagai rakan sokongan.
Menerusi kerjasama ini, Whoscall bersama PDRM dan J&T Express menyasarkan untuk mengagihkan satu juta langganan Whoscall Premium percuma untuk tempoh setahun kepada rakyat Malaysia, bagi memperkukuh keselamatan digital dan meningkatkan kesedaran terhadap scam di seluruh negara.
Berdasarkan data diperolehi daripada Whoscall, jumlah panggilan yang ditandakan sebagai penipuan telah menurun sebanyak 7.6% dari Januari hingga April 2025 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024. Ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran orang ramai dan usaha pencegahan secara bersama mula membuahkan hasil. Perkembangan positif ini menjadi dorongan tambahan buat Whoscall dan rakan-rakan kerjasamanya untuk terus mempergiat usaha serta mengekalkan momentum yang sedia ada.
Whoscall, aplikasi anti-penipuan yang disokong oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan penyelesaian anti-scam 360° yang sentiasa berkembang selari dengan kemajuan teknologi bagi mendahului taktik penjenayah siber. Selain mengenal pasti panggilan tidak dikenali dan menyekat spam, aplikasi ini turut menyediakan pelbagai alat canggih yang direka khusus untuk menangani ancaman digital hari ini.
Fungsi terbaru yang diperkenalkan seperti Content Checker membolehkan pengesanan ancaman secara serta-merta melalui tangkap layar (screenshot), manakala Auto-Web Checker pula mengenal pasti pautan berbahaya secara masa nyata bagi membantu pengguna mengelakkan pautan phishing. Selain itu, ID Security Check akan memberi amaran kepada pengguna sekiranya berlaku kebocoran data yang melibatkan nombor telefon mereka, sekaligus membolehkan tindakan pencegahan diambil dengan segera.
“Kempen ini bukan sekadar ganjaran – ia adalah satu gerakan,” kata Woon Chin Yong, Ketua Pemasaran Negara Gogolook di Malaysia. “Penjenayah siber masa kini dilihat semakin licik, maka pertahanan kita juga perlu dipertingkatkan. Whoscall membekalkan rakyat Malaysia dengan alat berasaskan AI untuk mengesan penipuan melangkaui kemampuan daya manusia. Daripada Content Checker ke Auto-Web Checker dan hinggalah ke amaran scam secara langsung, pengguna boleh menyemak semuanya dengan hanya satu klik.
Fungsi terbaharu Whoscall, AI-Powered Content Checker, membolehkan pengguna menyemak sama ada mereka sedang berhadapan dengan penipuan hanya menerusi tangkap layar. Selain mengenal pasti penipuan tersebut, fungsi ini turut memberikan penjelasan terperinci mengapa ia dianggap scam serta pautan kepada artikel berita atau laporan berkaitan yang boleh membantu pengguna menjelaskan situasi itu kepada orang lain.”
“Kerjasama jangka panjang kami bersama PDRM membolehkan kami memperkukuh pengesanan masa nyata melalui perkongsian pangkalan data penipuan daripada PDRM CCID Semak Mule, dan penyertaan J&T Express Malaysia membantu meluaskan capaian kepada orang ramai. Dalam dunia digital hari ini, memuat turun Whoscall bukan lagi satu pilihan ia adalah langkah penting untuk kekal selamat dalam talian.
Sebagai salah satu nama besar dalam dunia logistik, J&T Express Malaysia kini turut serta dalam kempen Scam Free Malaysia 2025 sebagai rakan kerjasama. Kehadiran mereka dapat membantu dalam meluaskan lagi impak kempen dan tingkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya scam. Usaha ini akan dipromosikan secara aktif melalui laman web, media sosial dan platform dalaman J&T sendiri.
“Di J&T, kami amat komited dalam melindungi kepentingan pelanggan, rakan niaga serta warga kerja kami. Memandangkan penipuan dalam talian kini menyasarkan individu dan perniagaan, kami menyedari betapa pentingnya langkah proaktif diambil bagi meningkatkan kesedaran dan melindungi komuniti kami.
“Dengan menyokong kempen ini, kami berhasrat untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai risiko yang ada melalui saluran komunikasi kami, serta menyediakan panduan praktikal bagi membantu mencegah penipuan seperti ini. Inisiatif ini memperkukuhkan komitmen kami dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin, serta mengukuhkan daya tahan bersama,” kata Jacky Hu, Pengurus Hal Ehwal Awam J&T Express Malaysia.
Untuk menebus langganan percuma Whoscall Premium selama setahun, rakyat Malaysia hanya perlu memuat turun aplikasi Whoscall dan masukkan kod promo PDRMLawanScams di laman web https://redeem.whoscall.com/en/redeem sebelum 31 Ogos 2025.
Dengan menebus langganan Whoscall Premium percuma selama setahun, rakyat Malaysia turut dapat menikmati ciri Auto-Update Scam Number Database yang memastikan rekod penipuan dan spam sentiasa dikemas kini untuk menyekat ancaman secara automatik. Selain itu, pengguna juga akan menerima amaran scam masa nyata dan pengalaman penggunaan aplikasi tanpa iklan – untuk ketenangan minda yang lebih terjamin.
Ikuti maklumat terkini di https://www.facebook.com/whoscall.malaysia/ dan https://www.tiktok.com/@whoscall.malaysia. Bersama-sama, mari kita wujudkan Malaysia yang lebih selamat dan bebas scam!